KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Persekutuan tetap meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang dilaksanakan secara berfasa.

SSLR mempunyai dua fasa iaitu Fasa 1: Lawas-Kampung Pa’ Berunut dan Fasa 2: Kampung Pa’ Berunut-Long Lama.

Berucap semasa penggulungan perbahasan Titah DiRaja bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, Fadillah berkata, surat niat (LOI) dikeluarkan kepada kontraktor 7 Julai lepas.

Manakala surat setuju terima (SST) dikeluarkan apabila kontraktor memenuhi syarat ditetapkan dalam dokumen tender.

Menurut beliau, bagi projek Lebuh Raya Trans Borneo ia diteruskan, namun keutamaan diberikan kepada penyiapan Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan Projek SSLR terlebih dahulu.

Fadillah turut mengumumkan Kerajaan Persekutuan tetap menghormati keputusan Kerajaan terdahulu untuk mengubah kaedah pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Beliau berkata, penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) dijangka memberi penjimatan kepada kerajaan khususnya tiada keperluan pembayaran yuran PDP.

Menurut beliau status kemajuan Projek Lebuh Raya sehingga Jun 2020 mencapai 52 peratus.