KABONG: Penduduk Kampung Emplam dan Nyabor dekat sini tidak terpinggir dalam melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Korban pada tahun ini.

Pada Ahad (2 Ogos) penduduk kampung berkenaan menumbangkan enam ekor lembu untuk tujuan berkenaan.

ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir serta isteri Meryani Haji Yasin hadir bersama-sama penduduk di kampung tersebut bagi menyaksikan majlis penyembelihan lembu korban berkenaan.

Turut hadir menyantuni penduduk pada hari itu ialah Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Malaysia, Ali Biju merangkap Ahli Parlimen Saratok Dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak Krian.

Dua wakil rakyat berkenaan sepakat bergabung tenaga menyumbang lembu-lembu tersebut untuk penduduk di situ untuk melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini.

Majlis sembelihan korban di Kampung Emplam berlangsung jam 8 pagi bertempat di pekarangan Masjid Masjid Lebai Mat Emplam di sini.

Manakala majlis sembelihan korban di Kampung Nyabor berlangsung jam 11 pagi bertempat di pekarangan Masjid To’ Amal Nyabor.

Chee ketika ditemui berkata beliau rasa gembira dan berterima kasih kepada YB Ali Biju kerana sudi hadir bersama dalam Jelajah Ibadah Korban DUN Kabong pada kali ini.

Beliau juga berharap pada tahun hadapan ibadah yang serupa akan terus dapat dilaksanakan dan dalam keadaan negara sudah bebas sepenuhnya daripada Pandemik Covid-19.