BINTULU: Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan Dun Kakus dinasihati untuk mengemas kini profil kampung dan rumah panjang masing-masing.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, profil kampung amat penting untuk memudahkan urusan hal ehwal pembangunan dan memudahkan kerajaan menilai tadbir urus.

Menurutnya, profil kampung merangkumi data seperti latar belakang kampung, jumlah penduduk, sumber pendapatan, maklumat tahap pendidikan dan sebagainya.

“Adanya profil ini, kerajaan dapat merancang jenis program pembangunan yang boleh dilaksanakan demi kebaikan penduduk kampung atau rumah panjang itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Rumah Biro Wanita JKKK Rumah Bigat Tanggai, Sungai Arip, Selangau, kelmarin.

Sikie yang juga Adun Kakus berkata, langkah (kemas kini profil kampung) membolehkan kampung dibangun secara sistematik dan teratur menerusi projek pembangunan kerajaan.

Pada majlis tersebut, Sikie turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Bigat dan RM26,000 kepada JKKK Rumah Bigat Tanggai.

Turut diadakan penyerahan sumbangan makanan kepada 30 penerima terdiri daripada warga emas dan orang kelainan upaya dari kawasan Ulu Arip. Sumbangan berkenaan diberikan oleh Ukas di bawah program ziarahnya.