KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Warisan tidak menafikan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pentadbiran mereka amat lembab.

Ini kata beliau yang juga ahli parlimen Pakan merujuk kepada kenyataan Warisan bahawa tempoh masa 26 bulan mereka memerintah Sabah adalah terlalu singkat untuk merumuskan bahawa kerajaan Warisan sudah gagal menjaga ekonomi.

“Tapi yang peliknya ialah lapan tahun sebelum PRU-14, pertumbuhan ekonomi Sabah adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan negara,” jelasnya dalam hantaran di Facebooknya.

“Misalnya pada tahun 2017, kadar Sabah adalah 8.2% iaitu paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% bagi seluruh Malaysia.

“Pada tahun 2016, Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.7% berbanding kadar 4.2% untuk Malaysia,” jelasnya.

Ini  ujar beliau menunjukkan bahawa secara am ekonomi Sabah telah berkembang pada kadar lebih pesat berbanding purata untuk negeri-negeri lain sebelum Warisan mengambil alih.

“Namun pada tahun 2018, kadar pertumbuhan Sabah jatuh ke 1.5% iaitu paling rendah antara semua negeri dalam Malaysia, paling rendah sejak 10 tahun yang lalu dan lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan 4.7% Malaysia.

“Ini bermakna Sabah semakin ketinggalan dengan negeri-negeri lain bermula tahun 2018,” ujarnya lagi.

Ulas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, jika diperhatikan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dan kerajaan Warisan Sabah tidak pernah melancarkan dan melaksanakan pelan strategik yang wajar bagi pertumbuhan Sabah.

“Ekonomi Sabah dah jatuh ke tahap kritikal setelah dua tahun bawah Warisan. Pada masa kritikal Covid-19 ini, Sabah amat memerlukan bantuan dan dukungan kerajaan pusat.

“Hari ini kahwin, takkan esok beranak? Jika tak ada pelan strategik yang betul serta dokongan kerajaan pusat, mampu hamil ke tidak pun menjadi tanda tanya besar,” katanya.