KUCHING: Langkah Petroliam Nasional Berhad (Petronas)  menggugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memberi Sarawak hak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum merupakan indikasi Petronas mengiktiraf hak negeri itu, kata Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek.

Menurut  Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, langkah itu juga menunjukkan hubungan kerja dan sikap memahami antara Kerajaan Sarawak dengan syarikat  minyak itu.

Kata Hasidah,  yang lebih penting adalah kesediaan Petronas untuk akur kepada undang-undang Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Ia satu perkembangan positif dan baik untuk maju ke hadapan bagi semua pihak. Kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan hak-hak dan mengutamakan kepentingan negeri ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Semalam, Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.