PADAWAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas meluluskan sebanyak 1,000 tong kepada Dun Tarat untuk menggalakkan penduduk di kawasan ini mengguna pakai sistem fertigasi.

Menurutnya, kaedah pertanian moden itu berpotensi membantu petani untuk mendapatkan hasil yang boleh dikomersial, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita mahu menggalakkan ramai petani menggunakan sistem fertigasi misalnya untuk menanam terung asam, cili dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Taklimat Pembangunan Tanah dan Agrotani bagi kawasan Dun Tarat di Dewan Teng Bukap di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn; Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengarah Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai.

Selain itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, akan membangunkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk pertanian CPPC mini di kawasan Teng Bukap.

“Saya luluskan CPPC mini di Teng Bukap untuk membantu petani,” katanya. Beliau juga memalumkan akan berbincang untuk menaik taraf jalan ladang bagi memudahkan para petani di kawasan ini mengangkut hasil tanaman.

Terdahulu Sagah yang juga Adun Tarat memohon kepada Uggah agar peruntukan diberikan untuk menaik taraf jalan ladang bagi memudahkan penduduk kampung membawa hasil tanaman seperti durian, sayuran dan sebagainya.

“Kadang-kadang penduduk kampung perlu berjalan kaki selama dua hingga tiga jam untuk pergi ke kebun mereka. “Kalau ada jalan yang dapat dilalui kenderaan, maka perjalanan mereka lebih cepat dan mudah,” katanya.

Beliau juga memohon agar CPPC mini ditubuhkan di Teng Bukap untuk diusahakan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Siburan dan PPK Serian bagi memberi kemudahan kepada petani selain mengenai perdagangan dan keusahanan.

Dalam pada itu, Sagah meminta agar Teng Bukap dihidupkan semula sebagai sebuah pasar, sekali gus menjadi pusat kegiatan ekonomi masyarakat di kawasan berkenaan.

“Ada lebih 20 kampung di sini, sebuah sekolah menengah dengan lebih 1,000 pelajar dan klinik.

“Kami sudah ada kerjasama dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) membuat konsep untuk memulakan pembinaan enam unit kedai di sini supaya kawasan ini dihidupkan semula sebagai sebuah pasar,” katanya.