KUCHING:  Untuk empat hari berturut-turut sejak 1 Ogos, Sarawak mencatatkan tiada kes baharu positif Covid-19 dengan sepuluh kluster yang masih aktif

Jumlah keseluruhan kes setakat ini kekal 678 dengan 19 kematian.

“Kluster Covid-19 yang masih aktif di Sarawak ialah Kluster Syarikat Kejuruteraaan (kekal lapan kes), Kluster Mambong ( kekal tujuh kes), Kluster Pusat Perubatan (kekal tiga kes), Kluster Jupiter (kekal tiga kes), Kluster Pasar Stutong (kekal tujuh kes),” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  Datuk Douglas Uggah Embas  dalam sidang media  di sini hari ini.

Untuk itu, beliau menasihati rakyat negeri ini dinasihat agar tidak leka dan terus kekal waspada.

“Hari ini saya ingin terus memberi nasihat walaupun jumlah  kes positif  sejak tiga hari lepas sifar, ini  tidak bermakna kita telah menang dalam peperangan ini,” katanya lagi.

Selain itu, jelas beliau Kluster Jeti Kuching (kekal dua kes), Kluster Sentosa (kekal 31 kes), Kluster PUI Melbourne (kekal dua kes), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (kekal dua kes) dan Kluster Pasar Satok (kekal empat kes).

Berkata pada hari ini juga lapan kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak. 

Ini, katanya menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 607 orang atau 89.53 peratus.