KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyerahkan surat lantikan kepada enam orang Ahli Lembaga Pengarah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang baharu.

Antaranya Dato Goh Leng Chua yang menjadi rakyat Sarawak pertama yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah INSKEN bersama lima ahli lantikan baharu.

Kesemua Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik terdiri daripada lantikan profesional dalam pelbagai latar belakang sektor korporat.

Mereka adalah Dato Goh Leng Chua, Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Zulkiple Kassim , Kapten (B) Tuan Hazli Tuan Hassan, Datuk Zamri Salleh, Datuk Huan Cheng Guan dan Datuk Sham Shamrat Sen Gupta.

Sementara itu, Dato Sri Wan Junaidi yakin dengan kredibiliti kepimpinan Ahli Lembaga Pengarah INSKEN yang baharu ini.

Menurutnya, ia akan memperkukuhkan lagi barisan pengurusan tertinggi sedia ada dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan usahawan mikro khususnya.

“INSKEN akan terus komited dalam menyediakan latihan untuk usahawan dan koperasi sebagai satu bentuk sokongan kepada mereka,” jelasnya.