MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB) Miri memutuskan mereka yang datang dari Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sabah untuk kembali ke daerah Miri dikehendaki menjalani kuarantin di rumah.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, langkah tersebut selaras dengan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak baru-baru ini bagi tempoh 1 hingga 14 Ogos 2020.

Dalam kenyataan media pada Ahad, beliau selaku menteri bertanggungjawab bagi JPBB Miri memberitahu, ujian calitan akan dilakukan pada hari kedua dan direkodkan.

“Pada hari tersebut, mereka diminta untuk hadir ke Stadium Tertutup Miri bagi menjalani ujian calitan oleh para pegawai Jabatan Kesihatan Negeri.

“Hasil ujian itu akan dimaklumkan kepada mereka melalui sistem pesanan ringkas. “Setelah keputusan diterima, mereka perlu datang ke Stadium Tertutup Miri sekali lagi untuk mendapatkan pelepasan kuarantin,” jelasnya.

Tambahnya, bagi mereka yang beralamat di Subis, Beluru, Marudi dan Telang Usan, mereka akan dibawa ke hotel sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Miri dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Sungai Tujoh.

“Mereka juga dikehendaki untuk melakukan ujian calitan pada hari kedua. “Sekiranya keputusan negatif, mereka akan dibawa ke rumah masing-masing dengan pelepasan kuarantin,” katanya.

Kim Shin turut menegaskan bahawa mereka yang mempunyai sejarah pulang dari luar negara termasuk dari Brunei, akan dikuarantin di hotel dan ujian calitan akan dilakukan pada hari kedua dan hari ke-10.

“Setelah hasilnya negatif dan dikuarantin selama 14 hari, mereka akan dihantar ke rumah dengan pelepasan kuarantin,” ujarnya.

Difahamkan, Stadium Tertutup Miri baharu saja siap diubah suai menjadi sebuah Pusat Sehenti Ujian Calit sepanjang tempoh ini bagi memenuhi keperluan ujian calitan ke atas mereka.

“Bagi memastikan kawasan Stadium Tertutup Miri sentiasa selamat dan bersih, prosedur sanitasi harian akan dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri,” jelas kenyataan itu.