KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tegas menyatakan kekesalan atas tindakan ADUN Tras, Chow Yu Hui (gambar) daripada DAP mencabar keputusan Kerajaan Negeri Pahang dalam mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan.

Menurut  Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad, kenyataan ADUN Tras itu tidak berasas kerana penggunaan tulisan Jawi telah lama digunakan oleh rakyat Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu, bahkan tiada kita melihat isu tidak boleh membaca Jawi dibangkitkan.

“Tulisan Jawi bukan suatu perkara asing di dunia termasuk Malaysia kerana ia adalah tulisan yang telah digunapakai sejak tahun 1300 Masihi, bahkan sejarah turut mencatatkan, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia juga tertulis dalam abjad Jawi,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau,  Kerajaan Persekutuan juga telah mengisytiharkan Jumaat sebagai hari menyemarakkan tulisan Jawi. 

Katanya, bagi menyambut seruan tersebut, Harakah turut mengadakan semula kolum tulisan Jawi mulai Ogos 2020 ini.

Bahkan, katanya, DAP juga perlu sedar bahawa selama ini logo Halal bagi barangan Malaysia turut menggunakan tulisan Jawi.

“PAS menyokong usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasakan penggunaan tulisan Jawi, ia seharusnya diikuti kerajaan negeri lain sebagai tanda sokongan memartabatkan penggunaan tulisan Jawi,” katanya lagi.