Rakyat Sarawak pada hari ini dapat sama-sama menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada Ketua Menteri yang mereka kasihi. YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini berusia 70 tahun.

Kepada rakyat biasa, usia ini adalah masa untuk bersara dan berehat. Bagaimanapun, dalam politik, angka 70 ini adalah usia matang untuk memimpin sebuah parti politik atau sebuah kerajaan negeri. Bagi seorang ahli politik seperti Abang Johari, beliau mesti terus berkhidmat selagi diperlukan oleh rakyat khususnya para pengundi.

Kebanyakan rakyat negeri Sarawak sudah tahu benar latar belakang dan watak pemimpin mereka ini.  Beliau terkenal akan sifatnya yang sabar, mesra dan tenang. Beliau adalah putera Tun Abang Haji Openg, Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama. Abang Johari, anak jati negeri Sarawak ini dilahirkan pada 4 Ogos 1950 di Limbang. Sebagai anak pemimpin tertinggi negeri, perjalanan politik Abang Johari sering dilihat sebagai mudah. Pada hakikatnya, itu hanyalah salah satu faktor dalam menentukan kejayaannya dalam mengharungi kerjaya sebagai ahli politik. Abang Johari telah bekerja keras dengan sabar dan jujur untuk parti dan tanah airnya.

Membesar Menjadi Pemimpin

Abang Haji Openg

Ayahnya sering berpindah dan bertukar tempat kerja. Apabila Abang Haji Openg dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak kali pertama pada 1946, Abang Johari pun ikut membesar dan mendapat pendidikan di Kuching. Beliau belajar di SK Merpati Jepang dan kemudiannya di SMK St Joseph. Abang Johari kemudian ke United Kingdom bagi menyambung pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana dan memperoleh Masters in Business Management di Henley College, Brunnel University.

Sebagai seorang anak pemimpin negeri, Abang Johari berpeluang mendapat pendedahan langsung daripada ayahnya. Beliau sering mengikuti ayahnya dalam lawatan ke serata pelosok negeri. Oleh itu bakat kepimpinan beliau sudah mula diasah sejak dari muda lagi.

Pada awal tahun 70-an terdapat beberapa pertubuhan belia yang aktif di negeri Sarawak. Antaranya termasuklah Gabongan Kelab-Kelab Belia Melayu Sarawak, Sarawak Youth Council dan Kelab Belia Bidayuh. Pada 1972 pemimpin pertubuhan ini bertemu dan bersetuju bergabung dan menubuhkan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak atau ringkasnya SABERKAS. Tun Abdul Rahman Ya’akub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu diangkat menjadi Presiden SABERKAS yang pertama pada 1973.

Abang Johari ikut bergiat dalam SABERKAS secara aktif. Pada masa yang sama, beliau sudah pun menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu atau PBB dan aktif dalam sayap pemuda parti itu. Kedua-dua badan ini menjadi pentas awal Abang Johari bergerak dalam politik dan menjadi tempat beliau mengasah bakat kepimpinannya.

Watak dan keperibadian Abang Johari yang luhur menjadikan beliau mudah diterima sebagai pemimpin golongan muda. Beliau seorang peramah dan mudah menyesuaikan dirinya dengan semua orang. Itulah faktor pendorong yang memudahkan perjalanan awal beliau dalam politik. Ketika usianya 27 tahun beliau sudah berjaya menjadi Ketua Pemuda PBB pada 1977. Beliau juga kemudian menjadi Presiden SABERKAS.

Merintis Kerjaya Politik

Sejak itu Abang Johari mulai belajar membaca permainan dan percaturan politik secara serius. Beliau mesti mengambil jalan selamat dan tepat terutamanya apabila berlaku sebarang krisis dan konflik dalaman parti. Beliau mesti pandai mengenal antara kawan dan lawan. Ketika inilah Abang Johari mula merintis perjalanan awal dalam kerjaya politiknya.

Tahun 1981 adalah salah satu masa yang paling penting dalam kerjaya politik Abang Johari. Tun Abdul Rahman Ya’akub meletakkan jawatannya sebagai ketua Menteri Sarawak dan mengosongkan kerusinya di Dewan Undangan Negeri. Beliau menyerahkan jawatannya kepada anak saudaranya Abdul Taib Mahmud yang dibawa pulang daripada kabinet persekutuan di Kuala Lumpur.

Abang Johari sedar bahawa Abdul Taib Mahmud adalah seorang pemimpin muda yang mempunyai masa depan politik yang cerah. Oleh itu Abang Johari berusaha mengukuhkan hubungannya dengan Abdul Taib Mahmud. Pada tahun 1981 itu Abdul Taib Mahmud menang dalam pilihan raya kecil di kerusi Sebandi manakala Abang Johari menang di kerusi Satok. Beliau berusia 31 tahun pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 1981 tidak lama selepas Abang Johari menjadi wakil rakyat Satok. Tahun hadapan 2021, genap 40 tahun beliau sebagai wakil rakyat Satok.

Kemenangan beliau di Satok telah menghantar Abang Johari buat kali pertama ke Dewan Undangan Negeri Sarawak. Bagi memberikan pendedahan selok-belok berpolitik yang lebih besar, Abdul Taib Mahmud kemudian melantik Abang Johari menjadi Ketua Setiausaha Politik beliau pada 1982. Tahun berikutnya Abdul Taib Mahmud mula memberikan kepercayaannya yang lebih besar dengan melantik Abang Johari sebagai Pembantu Menteri Wilayah dan Pembangunan Komuniti.

Menyertai Kabinet Sarawak

Satu lagi tarikh penting dalam kerjaya politik Abang Johari berlaku pada 1987. Abdul Taib Mahmud berdepan dengan usaha menggulingkan beliau. Beliau bertindak pantas membubar DUN Sarawak dan mengadakan pilihan raya negeri tergempar. Abdul Taib dan kumpulannya menang dan dapat mengatasi krisis tersebut. Dalam kabinet baharu yang dibentuk selepas pilihan raya 1987 itu Abdul Taib Mahmud menamakan Abang Johari sebagai Menteri Pembangunan Industri. Sebaliknya ramai ahli politik Sarawak hilang jawatan dan disingkirkan kerana dianggap membelot kepada Taib Mahmud. Sikap Abang Johari memihak kepada Taib Mahmud suatu keputusan terbaik dalam kerjayanya. Sejak itu, setiap tiga atau empat tahun Abang Johari bertukar ke kementerian yang lebih penting.

Dengan kedudukannya yang baik dalam kabinet negeri, kerjaya politik Abang Johari terus maju  hari demi hari. Beliau muncul sebagai salah seorang pemimpin pelapis yang berpotensi menggantikan Abdul Taib Mahmud.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan parti pada 1998 beliau memenangi jawatan Timbalan Presiden PBB. Beliau mengalahkan dua tokoh terkemuka dalam PBB iaitu, Adenan Satem dan Abang Abu Bakar Mustapha seorang menteri dalam kabinet kerajaan persekutuan.

Akhbar utama Sarawak melaporkan kemenangan Abang Johari

sebagai Timbalan Presiden PBB pada 1998.

Sungguhpun Abang Johari menang dan dilihat berpotensi menggantikan Abdul Taib Mahmud namun perjalanan politik beliau selepas itu agak perlahan kerana Adenan Satem di bawa masuk semula ke dalam pucuk pimpinan PBB sebagai naib presiden kanan. Apabila Adenan Satem meletakkan jawatannya sebagai naib presiden PBB beliau dilantik pula menjadi ketua penerangan PBB. Adenan Satem juga dikekalkan oleh Abdul Taib Mahmud dalam kabinet dan menjadi saingan kepada Abang Johari untuk jawatan Ketua Menteri. Adenan cuma ada satu kelebihan berbanding Abang Johari: beliau bekas adik ipar Taib Mahmud.

Abang Johari kemudian menjadi Menteri Pelancongan dalam kabinet tahun 2000, Menteri Perumahan pada 2004, Menteri Perumahan dan Urbanisasi pada 2009. Pada tahun 2011 beliau memegang dua portfolio iaitu, perumahan dan pelancongan.

Ketua Menteri Sarawak

Apabila Abdul Taib Mahmud mengundurkan diri sebagai Ketua Menteri Sarawak pada awal 2014, Adenan Satem menggantikan beliau. Sungguhpun kalangan akar umbi dalam PBB mengharapkan Abang Johari dilantik menggantikan Abdul Taib Mahmud tetapi perkara itu tidak menjadi kenyataan. Abang Johari tidak memprotes atau merajuk tetapi terus bekerja seperti biasa untuk parti dan kabinet negeri.

Pada 2016 selain menjadi Timbalan Ketua Menteri, Abang Johari  juga memegang portfolio perumahan dan juga di kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Apabila Adenan Satem meninggal dunia, berkat kesabaran dan kejujurannya Abang Johari dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 13 Januari 2017 ketika berusia 67 tahun.

Abang Johari sedar bahawa beliau menggantikan dua orang Ketua Menteri Sarawak yang sangat berjasa kepada Sarawak. Rakyat Sarawak sangat terhutang budi kepada Abdul Taib dan Adenan Satem. Oleh itu cabaran paling besar beliau ialah untuk memberikan perkhidmatan lebih baik daripada Abdul Taib Mahmud dan Adenan Satem. Pada masa yang sama Abang Johari mesti segera keluar daripada bayang-bayang dua nama besar ini.

Hari demi hari dalam tugasnya sebagai Ketua Menteri Sarawak Abang Johari sentiasa berusaha memperkenalkan inisiatif baharu untuk memenuhi keperluan pengundi dan rakyat Sarawak dan juga berusaha memajukan negeri itu ke tahap yang lebih baik.

Tiga tahun setelah menjadi Ketua Menteri, pada awal 2020 Abang Johari melancarkan program baharu dikenali sebagai ‘Sarawakku Sayang’ dengan tema ‘jaga Sarawak’ selari dengan cogan kata Gabungan Parti Sarawak, ‘Utamakan Sarawak’. Sehingga Januari 2020 Abang Johari telah memperkenalkan 81 inisiatif rakyat yang bertujuan mengubah nasib rakyat, meningkatkan kualiti hidup dan meringankan beban mereka. Ini termasuk membekalkan air bersih, elektrik dan jalan raya ke luar bandar. Apabila Sarawak dilanda pandemik Covid-19, program pembangunan terhenti.

Pada 23 Mac 2020 Abang Johari mengumumkan Peruntukkan RM1.15 bilion di bawah ‘Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang’ bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi dan kesulitan yang dihadapi rakyat akibat wabak Covid-19. Dana berkenaan disalurkan melalui 16 langkah proaktif terutama kepada barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang amat memerlukan sokongan ketika itu.

Abang Johari sentiasa mengulangi komitmennya untuk menjadi Ketua Menteri semua rakyat Sarawak, dan kepentingan rakyat Sarawak akan terus menjadi keutamaan dan keprihatinannya. Rakyat Sarawak bertuah mendapat seorang Ketua Menteri yang sangat komited dengan tugasnya. Beliau masih sihat, bertenaga, berwawasan dan berpandangan jauh. Selamat ulang tahun kelahiran ke-70 Abang Jo!

ROOSFA HASHIM, penulis biografi, pensyarah dan Pengarah Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau sedang menyiapkan biografi Ketua Menteri Sarawak.