KUCHING: Sejak dilancarkan awal tahun ini permohonan terhadap Kenyalang Gold Card (KGC) amat menggalakkan menurut Menteri  Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).

Sejumlah 3,595 Kad Emas Kenyalang diserahkan kepada 14 Dewan Undangan Negeri untuk diagihkan kepada penerima di kawasan masing-masing  pada Isnin.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah menjelaskan antara langkah yang akan dipraktikkan  untuk melancarkan dan mempercepatkan agihan termasuk  menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita buat mengikut pecahan DUN. Jadi ada caranya bagaimana kita dapatkan maklumat tersebut,” jelas Fatimah pada sidang media di pejabat di bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

“Satu pasukan daripada Kementerian, SOCOE dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bekerja tiga hari untuk memastikan bahawa sebahagian daripada yang tertunggak itu dapat kita edarkan pada hari ini,” jelasnya

Fatimah menjelaskan, terdapat pelbagai kemudahan yang boleh dinikmati seperti diskaun atau yuran percuma untuk  barangan.

Katanya, sebanyak 89 rakan strategik kad bersetuju untuk memberi potongan harga, diskaun atau perkhidmatan  berkaitan.

“Bahagian Kuching mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 46 rakan strategik kerana di bahagian ini permohonan paling banyak diterima,” katanya.