ROBAN: Perkukuh kerjasama elak perpecahan dalam masyarakat.

Itu pesanan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP),Datuk Seri Tiong King Sing yang disampaikan Ahli Majlis Tertinggi PDP, Subeng Mula kepada penduduk di Rumah Angel Keduh,Brayang semalam.

Kata Subeng, Datuk Seri Tiong yang berwakilkan beliau bertemu penduduk dan berucap pada hari itu mahu semua pihak berganding bahu dalam menyokong usaha kerajaan dalam membawa pembangunan kepada rakyat.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) terdiri daripada empat parti politik tempatan terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Ini merupakan gabungan parti dari pelbagai lapisan latar belakang dan kaum. GPS mengamalkan dasar perkongsian kuasa dan bersatu tanpa ada sempadan pemisah bagi membezakan pengikut PBB, PRS, SUPP ataupun PDP.

“GPS adalah pembela hak Sarawak dalam semua hal termasuk seperti termaktub dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan perjuangannya untuk semua rakyat Sarawak,” katanya.

Sehubungan dengan itu rakyat di semua peringkat diingatkan supaya tidak menyemai benih kebencian terhadap kerajaan dan pucuk pimpinan sedia ada serta melaga-lagakan rakyat dengan menyogok isu-isu negatif yang seolah-olah kerajaan selalu mengabaikan nasib rakyat.

Lantaran itu juga tidak seharusnya timbul istilah menjadi ‘ulun’ (hamba) GPS terhadap parti-parti dalam GPS.Kita semua bersatu dalam semangat setiakawan dan berjuang dengan satu prinsip kesamarataan demi rakyat dan negeri Sarawak yang tercinta.

Sesetengah pihak yang tidak senang dengan keharmonian dalam GPS cuba menimbulkan pelbagai tohmahan dan cuba memecahkan perpaduan sedia ada.Kita rasa terkilan dan sedih dengan perkara tersebut.

Jadi kata Subeng rakyat jangan mudah terpengaruh dengan agenda golongan berkenaan.

Katanya teruskan saja berpegang kepada prinsip perkongsian kemakmuran dan muafakat yang telah diamalkan dalam kehidupan selama ini .

Dalam Program PDP Menyantuni Rakyat di Rumah Angel Keduh,Brayang Subeng hadir bersama rombongan dan jemputan lain dengan majlis bermula jam 5 petang.

Antara yang hadir sama Pemanca Lim Guan Ann,Kr. Lim Guan Tiaw. Kr. Bong Ah Wie,Kr. Chieng Hock Wong,Kr. Andrew Rajau,Kr. Jeffery Panei, Kr. Wat Sedin,Tuai Rumah(TR) Mang TR. Anta, TR Jumbu, TR. Chenggie, TR. Brues, TR. Sait, TR Andrew Daji, TR Matar dan TR. Tugau.

Tidak ketinggalan Subeng dalam pertemuan itu mengingatkan penduduk di situ akan bahaya Covid-19 dan berharap penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP dalam usaha mencegah Pandemik Covid-19 daripada terus menular.