BINTULU: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada tahun ini tidak menghalang pelaksanaan ibadah korban dilakukan selaras dengan tuntutan agama dalam suasana norma baharu.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Ombudsman dan Integriti) Datuk Talib Zulpilip berkata, bercakap mengenai pengorbanan, tidak dinafikan sumbangan guru-guru pada hari ini sentiasa dihargai dan diingati sepanjang zaman.

“Terima kasih kepada guru-guru di atas pengorbanan yang telah ditunjukkan kepada murid-murid dari dahulu hingga sekarang.

“Disebabkan pengorbanan guru, hari ini ramai di kalangan murid-murid berjaya mencapai cita-cita,” katanya sempena Program Ibadah Qurban anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh pada Ahad.

Dalam pada itu, Datuk Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak turut mengumumkan akan membina jalan kedua ke Sekolah Kebangsaan Kuala Tatau bagi mengelak berlakunya kesesakan jalan raya disebabkan jalan yang ada sekarang sempit.

Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Pendidikan Daerah, Daerah Tatau/Sebauh Samri Suhaili, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh Ismawi Bujang dan Guru Besar SK Kuala Tatau Ibrahim Setok.