MIRI: Selaras dengan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi tempoh 1 hingga 14 Ogos 2020, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB) Miri telah memutuskan pelancong dari Malaysia Barat, Labuan dan Sabah yang kembali ke Bahagian Miri dan alamat tempat tinggal mereka di di Daerah Miri, mereka akan di kuarantin di rumah.

Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Ahad berkata, mereka akan di swab pada hari kedua dan direkodkan.

“Pada hari tersebut, mereka akan datang ke Stadium Tertutup Miri untuk diambil swab oleh pegawai Jabatan Kesihatan Negeri.

“Hasil swab akan dimaklumkan kepada mereka melalui Sistem Pesanan Ringkas.

“Setelah keputusan mereka diterima, mereka dapat datang ke Stadium Tertutup Miri untuk mendapatkan pelepasan kuarantin,” katanya.

Tambah Datuk Lee lagi, bagi pelancong yang alamat kediaman mereka di Subis, Beluru, Marudi dan Telang Usan, mereka akan dimasukkan ke hotel semasa tiba di Lapangan Terbang Miri dan CIQ Sungai Tujoh.

“Mereka akan dibawa ke hotel dan dilakukan ujian swab pada kedua.

“Sekiranya keputusan negatif, mereka akan dibawa ke rumah masing-masing dengan pelepasan kuarantin,” tambahnya.

Dalam pada itu, Datuk Lee turut menekankan pelancong yang mempunyai sejarah baru pulang dari luar negara termasuk dari Brunei, mereka akan dikuarantin di hotel dan swab akan dilakukan pada hari kedua dan kesepuluh.

“Setelah hasilnya negatif dan dikuarantin selama 14 hari, hasilnya akan dihantar ke rumah masing-masing,” ujarnya.

Stadium Tertutup Miri baru saja siap diubah suai menjadi sebuah Pusat Swab Sehenti sepanjang tempoh ini bagi memenuhi kemasukan pelancong yang memerlukan swab.

Untuk pastikan kawasan Stadium Tertutup Miri ini sentiasa selamat dan bersih, prosedur pembersihan harian akan dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Keselamatan Miri.