SIBU: Seorang pelajar perempuan sekolah menengah berusia 16 tahun antara 54 individu yang dikenakan kompaun kerana didapati melanggar SOP di sebuah bistro di Lorong Lau King Howe di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Collin Babat berkata, kesemua individu terbabit berusia 16 hingga 45 tahun.

“Dalam pemeriksaan itu, seramai 27 lelaki dan 27 perempuan termasuk pemilik premis didapati gagal mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal atas kesalahan Peraturan 10 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Polis mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 setiap seorang kepada 54 individu terbabit kerana tidak mematuhi SOP ketika tempoh PKPP ini,” katanya dalam satu kenyataannya semalam.

Collin memberitahu, polis melakukan pemeriksaan tersebut sekitar jam 10.10 malam. Menurutnya, Inspektor Kumareswaran Murugan mengetuai sepasukan anggota D7/D4 dan Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Sibu dalam pemeriksaan tersebut.

“Semua individu dari bistro yang sama didapati gagal mematuhi SOP dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal,” tegasnya lagi.

Collin berkata, kesemua individu terbabit dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk pengeluaran kompaun ke atas mereka.

Beliau berkata, dua daripada 54 individu terbabit turut didakwa atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta disiasat atas kesalahan Peraturan 25 (1) (n) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990. Kedua-dua individu terbabit, jelasnya, diperintahkan untuk direman semalam untuk siasatan lanjut.