SIBURAN: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 Juta kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi mempercepatkan pembangunan Agrotani di kawasan DUN Tarat.

Berucap di Majlis Taklimat Pembangunan Tanah Dan Agrotani Bagi Kawasan DUN Tarat pada Ahad, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kawasan DUN Tarat berpotensi besar untuk industri pertanian, penternakan, agrotani dan pengeluaran produk makanan dengan menggunakan teknologi dan kaedah baru seperti fertigasi dan Internet of Thing (IOT).

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM265 Juta melalui Agriculture Facilitation Fund (AFF) untuk membantu petani dan penternak di Sarawak.

Mengulas lanjut, tambah beliau, konsep “anchor company” juga telah diperkenalkan untuk membantu memasarkan dan menjual produk-produk berasaskan makanan dari negeri ini ke luar negara.

Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah, turut menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri cuba “merampas” Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melalui pengukuran perimeter yang sedang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dengan menggunakan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Jelasnya, dakwaan itu tidak berasas dan merupakan pembohongan semata-mata kerana pengukuran perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri adalah langkah pertama dalam proses pengukuran dan pewartaan tanah NCR dan sebenarnya bertujuan untuk mempercepatkan pewartaan tanah NCR.

Turut hadir, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn; Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet; Residen Bahagian Serian, Tuah Suni; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak, Siang Mandaw dan Ketua Bahagian Pembangunan Tanah Adat Dan Komoditi MANRED (Wakil Setiausaha Tetap MANRED), Sirai Daha.