WASHINGTON: Ratusan kanak-kanak yang menghadiri perkhemahan musim panas di Georgia, AS bulan lalu dijangkiti Covid-19, sekali gus membuktikan kanak-kanak terdedah kepada jangkitan dan mampu menjadi vektor penularan.

Sekurang-kurangnya 260 daripada 597 individu positif wabak, namun angka sebenar mungkin bertambah memandangkan keputusan ujian setakat ini hanya membabitkan 58 peratus kanak-kanak, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC).

Dilaporkan pihak pengurusan kem mengabaikan nasihat CDC yang meminta semua peserta memakai pelitup muka kain dan hanya memberi arahan kepada staf.

Bagaimanapun mereka mematuhi perintah eksekutif negeri yang mewajibkan semua peserta menunjukkan bukti ujian Covid-19 negatif yang diambil 12 hari atau kurang sebelum mereka tiba.

Antara langkah pencegahan lain ialah penjarakan fizikal, kekerapan disinfeksi selain meletakkan kanak-kanak dalam kumpulan kecil.

Kem itu menganjurkan orientasi yang membabitkan 138 pelatih dan 120 kakitangan pada 17 Jun hingga 20 Jun lalu, kebanyakannya berusia 21 tahun ke bawah.

Kem dibuka secara rasminya pada 21 Jun disertai 363 peserta berusia 6 tahun hingga 19 tahun, termasuk tiga lagi kakitangan senior.

Peserta perkhemahan terbabit pelbagai aktiviti termasuk nyanyian dan sorakan kuat setiap hari, menurut laporan itu. Mereka tidur di kabin.

Pada 23 Jun, remaja meninggalkan kem selepas mula menunjukkan gejala awal dan diuji positif Covid-19 pada 24 Jun, manakala kem ditutup pada 27 Jun.

Hasil siasatan pihak berkuasa kesihatan pada 25 Jun mendapati 260 daripada 344 yang menjalani ujian disahkan positif wabak itu dengan 74 peratus menunjukkan gejala ringan seperti demam, sakit kepala dan sakit tekak.