KUCHING: Penarikan rayuan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching menunjukkan syarikat minyak negara itu bersetuju membayar cukai jualan negeri (SST) bagi produk Petroleum kepada Sarawak.

Menteri Muda (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ini merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan.

“Penarikan ini bermakna mereka (Petronas) tidak mencabar atau mempersoal keputusan mahkamah yang menyatakan kita ada hak untuk mengenakan cukai.

“Bermakna mereka setuju bayarlah,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau menambah ini merupakan sesuatu yang positif dan menandakan bahawa kerjasama serta rundingan antara kerajaan Sarawak, Petronas dan kerajaan pusat berada di landasan yang betul.

“Seperti yang kita katakan sebelum ini, pembayaran SST akan dibuat kerana Petronas mengiktiraf hak kita untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum seperti yang termaktub di dalam perlembagaan,” katanya.

Petronas hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Pada masa sama, Kerajaan Sarawak juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai SST.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas berkenaan serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Pegawai Undang-Undang Negeri, Datuk Seri JC Fong mewakili Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Sarawak turut mengesahkan rayuan itu telah ditarik balik.

Prosiding mahkamah itu dijalankan menerusi persidangan video.