BETONG: Majlis Ibadah Qurban Jama’ie Yadim dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Daerah Saratok di Masjid Al-Muhtadin, Saratok pada Sabtu telah berlangsung dengan dengan meriah bersempena dengan Hari Raya Aidiladha.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz ketika ditemu bual selepas merasmikan majlis tersebut, berkata program tersebut merupakan suatu yang bersejarah dan berharap usaha itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Pengarah Yadim Negeri Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat memaklumkan, sebanyak 14 NGO dan institusi Islam dari seluruh Daerah Saratok terlibat dalam majlis itu.

“Antara yang terlibat ialah Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS), Hikmah Bahagian Betong, Urusetia Saudara Kita Saratok, Yayasan Ikhlas, Muslim Volunteer Malaysia, Sukarelawan Hikmah, Komuniti Bomba, Rela, Masjid Al-Muhtadin Saratok, Surau Cahaya Islam, Surau Muafiqin, Surau Silaturrahim, Urusetia Saudara Kita Nyabor, Urusetia Saudara Kita Sessang, dan Urusetia Saudara Kita Kabong.” kata beliau ketika ditemu bual.

Tambahnya, sebanyak 15 ekor lembu telah dikorbankan dan dianggarkan 750 orang sasaran asnaf dan Saudara Kita di sekitar Saratok dan perkampungan berhampiran akan mendapat manfaat daripada agihan-agihan daging korban itu.