PERTUKARAN kerajaan bukan perkara baharu di Sabah. Sesiapa yang telah mengikuti perkembangan politik Sabah sejak tahun 1970-an lagi pasti tahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bertukar tangan.

Ya, daripada Usno kepada Berjaya, kemudian kepada PBS sebelum diambil alih Umno/BN, dan kemudiannya Warisan selepas PRU-14. Dinamika politik Sabah lebih menyerlah berbanding negeri-negeri lain.

Dinamika itu sebahagiannya disebabkan pemimpin politik yang sentiasa berubah pegangan dan haluan walau tujuan mereka dapat dipertikaikan. Adakah kerana kepentingan rakyat atau kuasa dan kepentingan diri?

Sabah sudah sebati dan terkenal dengan kewujudan politik katak.
Pertembungan dan permusuhan politik antara pemain politik utama juga bukan asing.

Kita pernah melihat pertembungan antara Tun Datuk Mustapha Harun dengan Datuk Harris Salleh, dan kemudiannya antara Harris dengan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Malah, kini kita menyaksikan konflik dan pertembungan kuasa antara dua gergasi politik Sabah, iaitu Tan Sri Musa Aman dengan Datuk Seri Shafie Apdal. Mereka pernah sama-sama berada dalam Umno sebelum ini.

Musa pernah menjadi Ketua Menteri sebelum jawatan itu terlepas daripada genggamannya akibat manipulasi kuasa oleh Shafie selepas PRU-14.

Maksudnya, Sabah sentiasa diwarna-warni dengan drama politik, intrig, cantas-mencantas, dan lompat-melompat parti.

Jadi, tidak ada yang mengejutkan dengan perkembangan politik di Negeri di Bawah Bayu itu pada Khamis lalu. Malah, percaturan dan manipulasi sudah bermula sebaik sahaja PRU-14 apabila Shafie yang mendapat majoriti tipis, mengumpan Adun BN dikuasai Musa.

Dari segi ini, Shafie tidak boleh menuduh bahawa Musa bermain kotor, kalau perkataan itu sesuai digunakan. Dalam politik Sabah, sebenarnya tidak ada istilah bersih, kerana Sabah terkenal dengan permainan politik kotor.

Sejak sekian lama, ahli politik bertukar haluan dan lompat-melompat parti sesuka hati. Dari segi rekod, barangkali tidak keterlaluan dikatakan di Sabahlah paling banyak ahli politik katak.

Seyogia diingat, Kerajaan Warisan/PH/Upko pimpinan Shafie dibentuk selepas Kerajaan BN/Star tumbang tiga hari selepas PRU-14.
Ketika itu BN meraih 29 kerusi — Umno 17, PBS enam, Upko lima dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, satu.

Manakala Warisan mendapat 21 kerusi, dan sekutunya PH mendapat lapan kerusi — DAP enam dan PKR dua, jadi kesemuanya mereka mempunyai 29 kerusi.

Maksudnya, kedudukan kerusi di Sabah terikat. Masing-masing memperoleh 29 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala dua kerusi lagi dimenangi Parti Solidariti Rakyat Sabah (Star).

Ini sekali gus meletakkan Star sebagai penentu atau ‘kingmaker’. Dalam keadaan demikian, jalan terbaik adalah untuk memujuk dan mempengaruhi mana-mana Adun menyertai kelompok maisng-masing.

Pada waktu itu, BN Sabah pimpinan Musa Aman mendapat sokongan dua Adun Star sekali gus memperoleh majoriti mudah dengan 31 undi yang membolehkan BN membentuk kerajaan.

Namun, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (Upko) mengumum keluar BN tetapi empat orang Adun Upko kekal menyokong Musa sebagai Ketua Menteri memungkinkan Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah. Kemudiannya, enam Adun BN keluar daripada BN dan menyertai Warisan, sekali gus menyokong Shafie sebagai Ketua Menteri.

Dalam keadaan politik yang tidak menentu itu, empat orang Adun Upko menyatakan sokongan kepada Shafie sebagai Ketua Menteri.

Akhirnya, Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, 48 jam selepas Musa mengangkat sumpah untuk jawatan itu. Kesudahannya, Istana Negeri menyampaikan surat memaklumkan bahawa Musa bukan lagi Ketua Menteri.

Kerajaan pimpinan Shafie mengukuhkan kedudukannya dengan melantik lima Adun, meningkatkan jumlah Adun kepada 65. Lebih banyak Adun BN melompat dan menyelamatkan diri untuk menyertai Shafie.

Ketika drama politik berlaku Khamis lalu, Shafie mempunyai 47 Adun yang terdiri daripada Warisan, DAP, Upko dan PKR manakala PN yang terdiri daripada Berstu, PBS, Star dan Umno mempunyai 17 Adun.

Drama tidak berakhir di situ. Arus bawah politik Sabah terus bergelora dan Shafie tahu akan perkara itu, terutama selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan Februari lalu susulan tumbangnya Kerajaan PH yang disokong Shafie.

Keadaannya semakin tertekan selepas Musa, 69, dibebaskan dan dilepaskan daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan kontrak konsesi balak di Sabah awal Jun lalu.

Musa umpama singa luka dan lapar yang dilepaskan dari sangkar.

Shafie sedar bahawa kedudukannya terancam. Shafie menegaskan bahawa mereka tidak akan berdiam diri selepas Musa dibebaskan oleh mahkamah.

Malah, beliau menyatakan bersedia untuk menentang sebarang anasir yang cuba memporak-perandakan Sabah sehingga mengheret kepada konflik politik. “Jika mahu memporak-perandakan Sabah, jika kamu mahu lawan, kami akan lawan,” tegas Shafie ketika itu.

Pembangkang hanya perlukan 16 Adun untuk melompat dan menumbangkan kerajaan pimpinan Shafie. Dengan keadaan yang kukuh itu, siapa yang dapat menyangka bahawa,

Musa berjaya untuk memujuk Adun terbabit untuk meninggalkan Shafie, dan menyertai beliau untuk membentuk kerajaan?

Tentu bukan calang-calang pemimpin dapat berbuat demikian. Apakah yang menyebabkan mereka sanggup meninggalkan Shafie, 64, yang memerintah selama 26 bulan sehingga membolehkan beliau mendapat majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu?

Gambar Adun berkenaan memegang nombor masing-masing tular di media sosial, membuktikan sesungguhnya Musa memang mempunyai angka yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Adakah perkara ini berlaku kerana faktor Musa, kelemahan Shafie, faktor umpanan wang atau kerajaan persekutuan yang kini sudah bertukar daripada PH kepada PN? Rakyat berhak untuk mempertikaikan kredibiliti dan justifikasi mereka yang semudah itu berubah pendirian.

Jika mereka ini berdepan dengan pengundi dalam PRN nanti, pasti sukar untuk mereka memberi justifikasi kepada rakyat tentang tindak-tanduk politik mereka.
Menyedari kedudukannya sudah goyah, dalam keadaan tertekan, dan bagi mengelakkan kerajaannya tumbang dan dia tidak lagi menjadi Ketua Menteri, maka jalan terbaik dan selamat adalah dengan mencadangkan supaya DUN dibubarkan.

Dengan itu, hasrat Musa untuk menjadi Ketua Menteri dan membentuk kerajaan pun kecundang.
Langkah tepat meleraikan kemelut politik Sabah dan akan beri ruang kepada rakyat dan pengundinya menyatakan sokongan secara muktamad siapa yang lebih berhak untuk memimpin negeri 3.9 juta jiwa itu.

Mandat kini dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan calon, parti dan pemimpin yang berhak untuk menerajui Sabah yang kompleks itu.

Blok kerajaan kini terdiri daripada Warisan (31 kerusi), DAP (enam), Upko (dua), PKR (dua) dan Adun dilantik (empat), sementara blok pembangkang pula membabitkan Bersatu (sembilan), PBS (empat), Star (tiga), Bebas (dua), Umno (satu) dan Adun dilantik (satu).
DUN Sabah telah dibubarkan. Kini rakyat Sabah perlu membuat pilihan tepat bagi memastikan siapa yang lebih berhak untuk memerintah negeri itu.

Ketidaktentuan politik perlu ditamatkan dan diharap percaturan dan manipulasi politik tidak lagi berlarutan. Jika tidak tentu pergolakan politik akan berlaku dan ini menjejaskan masa depan rakyat dari segi kebajikan, pembangunan dan kemakmuran mereka.

Untuk itu, mampukah fenomena politik katak dihentikan selepas PRN nanti? Atau ahli politik katak akan terus melompat untuk mencari kolam yang lebih selesa dan bukannya kerana kepentingan rakyat?

Yang pasti, Musa dan Shafie akan bertarung habis-habisan dalam pilihan raya yang dijangka sengit dan kotor.