KUCHING: Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Sarawak tidak perlu ikut campur dan mengikut rentak politik yang berlaku di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya, menurut beliau yang juga Menteri Kerja Raya, Sarawak hanya perlu jaga Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika diminta media mengulas perkembangan politik terbaharu di Negeri di Bawah Bayu.

Pada Khamis, DUN Sabah dibubarkan selepas berlaku ketidaktentuan politik apabila kedudukan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Appdal tergugat ekoran dakwaan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bahawa beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurut Fadillah, kejadian yang berlaku di Sabah, tiada kaitan dengan politik Sarawak.

“Paling penting, Sarawak dapat jaga Sarawak sendiri,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ibadah Korban Aidiladha Pemuda N8 Satok 2.0 di Jalan Abang Ateh, di sini Ahad yang turut dihadiri Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok, Datuk Ibrahim Baki.

“Jangan terbabit dengan apa-apa yang berlaku di Sabah atau Semenanjung. Kita di Sarawak perlu bersatu hati dan saling menjaga diri,” katanya lagi.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan PBB menasihati rakyat supaya terus bersatu menjaga negeri ini.

Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya seawal-awalnya sebelum akhir tahun ini atau pada suku pertama tahun depan.