KUCHING: Sarawak terus merekodkan sifar kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri kekal 678, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

 Menurut JPBNS, lima kes baharu telah sembuh dan dikeluarkan dari hospital hari ini dari Hospital Umum Sarawak (HUS). 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif yang telah sembuh dan discaj dalah seramai 599 orang setakat ini atau 88.35 peratus,” katanya dalam satu kenyataan. 

“Seramai 10 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.8 peratus,” katanya lagi. 

Jelas kenyataan itu, hari ini sebanyak 15 kes orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan seramai 451 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin.

JPBNS memaklumkan terdapat 10 kluster masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraan (8 kes), Kluster Mambong (7 kes), Kluster Pusat Perubatan (3 kes), Kluster Jupiter (3 kes) dan Kluster Pasar Stutong (7 kes), Kluster Jeti Kuching (2 kes), Kluster Sentosa (31 kes), Kluster PUI Melbourne (3 kes), Kluster Syarikat Pembinaan (2 kes) dan Kluster Pasar Satok (4 kes).

Lima daerah iaitu Kuching, Serian, Lundu, Bau dan Samarahan masih berstatus kuning manakala daerah-daerah lain berstatus hijau.