KUALA LUMPUR: Bersatu diingatkan agar sentiasa mencermin diri dan mengukur baju di badan sendiri khususnya setelah ramai pimpinan daripada parti ini dilihat cuba menangguk di air keruh bagi isu kerusi Pilihan Raya Negeri di Sabah.

Menurut  Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh, janganlah kerana kuasa sementara yang ada di peringkat tertentu, BERSATU semakin angkuh hingga dilihat cuba bersungguh-sungguh menggunakan segala apa jua cara yang ada demi memastikan UMNO semakin dipinggirkan oleh Bersatu sendiri.

Ini susulan kenyataan bersatu Sabah untuk bertanding di 45 kerusi dalam PRN Sabah nanti.

“Sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang didukung oleh UMNO sendiri di peringkat nasional, Bersatu wajar bertindak dengan lebih rasional, dan tidak bermain dengan api seperti cubaan mengeluarkan sebarang kenyataan yang cuba merendahkan pimpinan dan parti UMNO selain terus menunjukkan keangkuhan bagi merebut kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO sebelum ini tanpa berbincang dahulu bersama pihak yang terlibat di dalam UMNO,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit, hari ini.

Harus diingat, katanya, waktu Pilihan Raya Umum ke 14 dahulu pun, berapa sahaja kerusi yang dimenangi oleh Bersatu ini?

“Kerusi yang dimiliki mereka pasca-PRU-14, termasuk di Sabah itu pun kerana faktor mereka yang melompat parti. Bukan menang atas tiket Bersatu sendiri.

“Malah, sebelum ini kita dapat lihat bagaimana nasib Bersatu setelah diganyang oleh UMNO, Muafakat Nasional, dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil seperti di Semenyih dan Tanjung Piai.

“Janganlah kerana atas faktor Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri, ahli-ahli Bersatu fikir dapat berbuat sesuka hati saja tanpa memikirkan UMNO,” tegasnya.

Katanya, harus diingat barangkali Bersatu ini hanya relevan cuma atas faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih menjadi Perdana Menteri semata-mata.