KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini menjelaskan pergerakan keluar dari Sarawak ke Semenanjung, Sabah atau Labuan tidak memerlukan kebenaran polis.

Namun JPBN berkata, kawalan pergerakan hanya membabitkan pergerakan di antara Zon 1 (zon kuning/merah Covid-19) dan Zon 2 (zon hijau Covid-19).

Kata JPBN lagi, sebarang pergerakan dari Zon 1 ke Zon 2 dan sebaliknya, perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada balai polis berdekatan.

“Kawalan pergerakan di negeri Sarawak dibahagikan kepada 2 zon, iaitu Zon 1 meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, manakala Zon 2 meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya.

Sarawak tidak merekodkan sebarang kes positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif wabak itu kekal sebanyak 678 dengan 19 kematian.

Sementara itu, Kuching keluar dari zon merah apabila jumlah kes berada di bawah 40 hari ini.

Infografik kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan terdapat 39 kes di daerah itu berbanding 43 direkodkan pada Sabtu.

Sesuatu kawasan diklasifikasikan sebagai zon merah apabila jumlah kes mencecah lebih 40.