LIMBANG: Kerajaan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Brunei Darulsalam di atas keputusan menangguhkan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 kepada 1 Oktober depan di mana sepatutnya mula dilaksanakan pada hari ini, 1 Ogos 2020.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penangguhan itu membolehkan perundingan dalaman dan perbincangan bersama Kerajaan Malaysia diteruskan untuk menilai dan meneliti beberapa perkara yang beliau bangkitkan menerusi surat bertarikh 20 Julai lepas kepada negara Brunei Darussalam.

“Kita amat menghargai tali persahabatan dan hubungan yang amat rapat di antara negara Brunei Darussalam dan Malaysia khususnya kita di Sarawak ini.

“Jadi, saya sekali lagi bagi pihak kerajaan negeri Sarawak khususnya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada negara Brunei Darussalam dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Dato Haji Erywan bin Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Negara Brunei Darussalam,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Limbang pada Sabtu.

Datuk Amar Awang Tengah turut memaklumkan beliau telah menerima surat daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Negara Brunei Darussalam pada 30 Julai 2020 bagi menyatakan tentang Keputusan Brunei Darussalam untuk menangguhkan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk kepada 1 Oktober 2020.

Penangguhan sementara pelaksanaan bayaran tersebut memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk di Bahagian Limbang yang akan terkesan dengan pelaksanaannya.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Hj Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney bin Haji Ahmad Fauzi dan Pegawai Imigresen Bahagian Limbang Khalthom binti Ahmad.