SARATOK: Parti Progresif Demokratik (PDP) kini bergerak aktif bagi menggerakkan jentera parti dalam mendukung aspirasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha memperkasakan parti dan mengukuh cengkaman GPS di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi PDP, Subeng Mula berkata PDP perlu menjadi parti komponen GPS yang proaktif dan berkesan lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Barisan kepimpinan kerajaan yang sedia ada di Sarawak dengan diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama Gabungan Parti Sarawak ( GPS) adalah merupakan gandingan mantap dan kerajaan terbaik yang perlu terus diberi sokongan padu.

“Negeri ini amat memerlukan kerajaan yang stabil dan memahami denyut nadi rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

“Rakyat sudah melihat sendiri peranan berkesan kerajaan sedia ada yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat serta sentiasa tampil menghulur bantuan lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi yang muram dan kekangan dalam melakukan kegiatan ekonomi kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang kini masih berterusan dalam fasa PKPP.

“Sehubungan dengan itu PDP akan terus menjadi pendukung kuat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kestabilan politik dan pembangunan di negeri ini boleh dilaksana sebagaimana yang dirancang oleh tampuk kepimpinan negeri yang sedia ada,” ujar Subeng.

Subeng ditemui ketika sesi PDP Bersama Rakyat di Rumah Matar, Sungai Sebilik, Lubok Renit, Awik dekat sini petang semalam.

Subeng dalam pada itu turut mengingatkan penduduk di situ agar tidak memandang ringan ancaman Pandemik Covod-19 yang masih berterusan dan terdapat beberapa kes jangkitan di negeri ini.

Kata Subeng usaha memutuskan rantaian Covid-19 adalah tanggungjawab semua dan penduduk perlu menjadi warga yang bertanggungjawab dan patuh kepada arahan pemerintah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang dianjur oleh kerajaan pada masa kini.

Subeng seterusnya mengingatkan penduduk di situ supaya menjadi rakyat yang menghargai jasa kerajaan.

Lantaran itu katanya rakyat tidak harus mudah terpedaya dengan cakap-cakap kosong pihak tertentu yang tidak mempunyai bukti sahih sebaliknya hanya berniat memperdaya rakyat demi kepentingan sendiri.