KUALA LUMPUR: Bermula semalam, 1 Ogos 2020, masyarakat telah mula memakai pelitup muka khususnya semasa berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak COVID-19.

Rata-rata rakyat boleh dikatakan akur dengan peraturan terbaharu itu daripada membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sekiranya gagal mematuhinya.

Menurut tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pada hari pertama penguatkuasaan arahan itu  pada Sabtu,  mendapati masyarakat mula mendisplinkan diri dengan memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan sebaik sahaja keluar daripada kenderaan masing-masing.

Pelitup muka kini boleh dikategorikan sebagai ‘perisai’ paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan COVID-19, selain memastikan penjarakan fizikal yang wajib dipatuhi rakyat.

Selain sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan, membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal turut menjadi amalan baharu masyarakat ketika berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata penggunaan pelitup muka perlu diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

Kata Dr Noor Hisham, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan jangkitan COVID-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.