Politik Sabah bergelora walaupun pada mulanya nampak tenang. Namun air tenang jangan sangka tidak ada buaya kata peribahasa Melayu. Situasi politik Sabah mulai panas apabila pada pertengahan Jun,  dua Adun blok kerajaan diterajui Warisan Sabah daripada Upko iaitu Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta dan menjadi Adun bebas yang menyokong Perikatan Nasional.

Sebelum itu, sudah ada spekulasi ahli-ahli dewan undangan Negeri (ADUN) Sabah  dipujuk keluar dari Kerajaan Warisan. Spekulasi ini bertiup kencang kononnya akan berlaku perubahan kerajaan negeri pada bulan Julai tahun ini. Disebabkan ini, berlakunya perjumpaan wakil-wakil rakyat  kerajaan  bersama Mohd Shafie Apdal lalu, membuat pendirian terus menyokong  teguh kerajaan pimpinan Shafie.

Ketika itu, dua wakil rakyat tidak hadir dan  pengumuman  dua wakil rakyat tersebut keluar parti kemudiannya tidaklah mengejutkan penganalisis politik Sabah. Tidak lama lagi timbul berita  dan dakwaan pujuk memujuk wakil rakyat  dari pihak kerajaan untuk keluar parti dan dikatakan dijanjikan tawaran jawatan dan wang. Laporan polis telah dibuat manakala pihak yang dikatakan terlibat menafikan  penglibatan tersebut.

Gelora Politik

Dalam tempoh 2 hari, iaitu 29 Julai – 30 Julai berlakunya dua peristiwa politik. Pertama,  Musa Aman bekas Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun yang baru digugurkan 46 pertuduhan mahkamah isu salah guna kuasa sebelum ini,  mendakwa memperolehi majoriti mudah dengan beberapa ADUN blok kerajaan didakwa meninggalkan parti.

Shafie  dan Musa kedua-dua tidak jelas memiliki majoriti ditambah pula budaya politik lompat yang mengkhianati amanah rakyat. Sekiranya ini berterusan, sesiapa sahaja sentiasa  boleh lompat parti dan sesuatu perlu dibuat secara konkrit bagi memberikan mesej bahawa amalan tersebut tidak beretika daripada segi moral politik.

Yang kedua, apabila terdapat dakwaan mempunyai SD tersebut, Shafie Apdal berjumpa Tuan Yang Terutama Negeri Sabah. Berdasarkan senario politik ini, TYT Sabah membuat keputusan agar dibubarkan dewan undangan negeri Sabah dan menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih, dan tidak membenarkan budaya  lompat parti yang memilih. 

Sebelum ini, TYT Sabah menggunakan akuan berkanun (SD) untuk menentukan dalam pemilihan Ketua Menteri Sabah. Hal ini kerana ketika itu baru beberapa hari pilihan raya umum diadakan di negara ini. Justeru, adalah tidak rasional untuk mengadakan pilihan raya negeri semula dalam tempoh beberapa hari selepas pilihan raya umum pada Mei 2018.  

Kini apabila selepas 28 bulan pilihan raya umum 2018, jalan terbaik dalam konteks demokrasi ialah mengadakan pilihan raya negeri untuk membolehkan rakyat menentukan pilihan mereka, bukannya elit politik.

Dalam perlembagaan negeri Sabah selepas pembubaran, Ketua Menteri yang sedia ada menjadi  ketua kerajaan atau Ketua Menteri caretaker kepada kerajaan Sabah sepanjang 60 hari selepas pembubaran DUN sesuai dengan peruntukan undang-undang.

Tidak timbul isu, TYT Sabah perlu mewawancara setiap ahli DUN untuk memperlihatkan sokongan majoriti untuk memilih Ketua Menteri Sabah. Hal ini kerana Ketua Menteri Sabah tidak meletak jawatan dan tidak sama seperti krisis politik di Putrajaya kerana Mahathir  meletak jawatan maka berlakunya kekosongan jawatan Perdana Menteri. 

Krisis Politik 

Krisis politik ini berlaku akibat daripada sikap pemimpin politik yang beria-ria hendak merampas kuasa Ketua Menteri Sabah sedangkan tempoh Dewan Undangan Negeri Sabah masih ada beberapa tahun lagi. Sepatutnya, tempoh tamat penggal  untuk pilihan raya ke-14 hanya akan berakhir pada 16 September 2023.

Bermakna Dewan Undangan Negeri Sabah juga sepatutnya mengikuti tempoh tersebut. Namun apabila ada orang politik terlalu obses dengan politik dan berebut kuasa dan mahu menjadi Ketua Menteri maka soal penggal belum lagi tamat tidak dipedulikan. Hal ini  seolah-olah mereka lupa isu rakyat sedang berdepan keperitan ekonomi akibat wabak pandemik Covid-19. Jadi, mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih, agar wakil rakyat yang melompat dinilai kembali oleh pengundi mereka sendiri penting dalam konteks situasi politik tersebut.

Sudah tentu bagi perancang di belakang cubaan merampas kuasa politik di Sabah memikirkan usaha ini nampak mudah semudah pertukaran politik di negeri Melaka, Johor dan Kedah.  Mereka berasa politik di negeri Semenanjung Malaysia sama dengan situasi di negeri Sabah.  Kesilapan ini menjerumuskan pihak berkepentingan dengan kuasa terperangkap dengan mainan politik dan kuasa mereka sendiri apabila perlu berdepan dengan pilihan raya negeri.

Belum tentu yang melompat parti terselamat apabila berdepan dengan pengundi di kawasan mereka. Pengundi mereka sudah pasti tidak sabar untuk menolak mereka kerana sanggup melompat parti  yang pengundi tolak pada pada pilihan raya lalu. Sudah pasti yang melompat parti tidak akan dicalonkan oleh parti asal mereka kerana tidak ada tempat bagi mereka bagi pengundi yang mempunyai literasi politik yang tinggi.

Hambatan

Tanpa persediaan mencukupi Perikatan Nasional di Sabah akan mengalami pelbagai cabaran.  Yang terbesar sekali ialah masalah dalam agihan kerusi sukar diselesaikan. 

Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor menyatakan hasrat partinya untuk bertanding 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 73 jumlah kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri Sabah. Ini bermakna Bersatu Sabah cuba mendominasikan kerusi kerusi DUN Sabah sedangkan parti tersebut baru tidak sampai 2 lebih tahun bertapak di Sabah.

Jika ini benar-benar dilaksanakan maka UMNO hanya ada  28 kerusi sahaja untuk ditandingi dan ini belum lagi dikongsikan dengan parti-parti kecil. Ia seolah-olah memperkecilkan sejarah dan keupayaan UMNO yang telah lama bertapak di negeri Sabah sejak tahun 1990-an lagi dan telah membawa banyak perubahan di negeri Sabah.

Permusuhan politik Musa Aman dengan Shafie Apdal pada pilihan raya lalu mengakibatkan kerugian besar kepada UMNO Sabah yang kini hanya mempunyai  satu kerusi sahaja yang disandang oleh Musa Aman yang mewakili DUN Sungai Sibuga.  Sebelum ini, terdapat 16 Adun UMNO, namun 16 Adun ini  meninggalkan Musa Aman keseorangan selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018. 16 Adun ini  meninggalkan parti Umno dan menyertai parti Warisan dan Bersatu.

Kini Bersatu Sabah pula cuba menuntut kerusi yang sangat besar dan agak melampau.  Sudah pasti ini, akan mendatangkan kemarahan bukan sahaja penyokong UMNO, akan tetapi menyebabkan rakyat Sabah kurang berpuashati dengan sikap dan pendirian parti Bersatu yang tidak mengukur kekuatan mereka di peringkat akar umbi di Sabah yang kebanyakannya lompat parti dan hilang kesetiaan ketika BN tewas dahulu.

Peluang

Setakat ini, parti Warisan lebih berpotensi memenangi pilihan raya negeri Sabah  kerana banyak menggunakan isu tempatan dan politik etnonasionalisme sedangkan Bersatu dan Umno dilihat cuba menumbang Warisan tanpa sebab yang kukuh, di tengah wabak pandemik Covid-19 dan menyebabkan rakyat Sabah terdedah kepada bahaya kesan pandemik tersebut.

Namun pada masa yang sama, kemampuan Perikatan Nasional tidak boleh diperkecilkan kerana PN ialah kerajaan yang memerintah di Putrajaya yang mempunyai banyak kelebihan dari segi jentera kempen, media, sumber kewangan dan pelbagai kementerian yang berupaya membantu secara tidak langsung dalam perancangan pembangunan dan penganjuran aktiviti berorientasikan situasi pilihan raya negeri Sabah. 

Pilihan raya negeri Sabah juga satu bentuk pengajaran kepada pemimpin politik agar menghindari amalan lompat parti dan perlu berdepan dengan penolakan pengundi akibat daripada tindak tanduk lompat parti walaupun di Sabah lompat parti ialah salah satu ciri budaya politik di negeri Sabah.

Sebenarnya amalan lompat parti dan politik wang boleh menjejaskan kemenangan dalam mana-mana pihak Warisan dan Perikatan Nasional. Justeru, kedua-dua pihak perlu menghindari amalan dan perlakuan politik yang kurang sihat untuk memastikan sistem amalan demokrasi di negara ini mempunyai prinsip, maruah dan lebih berintegriti tinggi.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.