KABONG: Satu lagi tangkapan berkaitan judi ‘online’ dalam Op Dadu yang dilakukan oleh pihak polis di sini petang semalam.

Kali ini pihak polis melakukan serbuan di sebuah di sebuah kedai kopi di Pasar Kabong dan memberkas seorang lelaki berusia 31 tahun.

Serbuan yang dilakukan jam 4.10 petang menahan seorang lelaki yang berada di dalam kedai tersebut yang disyaki sedang menjalankan kegiatan judi haram iaitu penjualan kad tambah nilai (reload) judi secara ‘online’.

Setelah diperiksa pihak polis mendapati barang-barang yang digunakan untuk penjualan ‘reload’ judi online berada bersama lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara berkenaan dan menjelaskan suspek kemudiannya di bawa balik ke Balai Polis Kabong untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 4(1)(c) ARJT 1953 kerana menjalankan kegiatan judi ‘online’.

“Pihak polis merampas satu unit telefon bimbit jenama Lenovo beserta satu simkad Tunetalk yang ditanda MH1. Satu keratan kecil kertas bertulis ID Judi Atas Talian yang ditanda MH2,satu batang pen dakwat merah, dan wang tunai campur-campur berjumlah RM 53.00.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut.