KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  banyak perubahan berlaku di bandar raya Kuching dalam tempoh 32 tahun lalu.

Ini termasuk Kompleks dewan Undangan Negeri, tebingan Kuching, Jambatan Darul Hana dan hotel lima bintang.

Kehadiran Jambatan Darul Hana menarik perhatian pelancong dari luar dan dalam negeri, malah antara destinasi yang wajib dikunjungi.

Ini menurut Ketua Menteri dapat disaksikan daripada  pembangunan pesat dalam sektor perumahan, komersial, tempat rekreasi, kemudahan pengangkutan awam dan utiliti yang lain.

Perubahan itu, katanya, menjadikan  Kuching muncul sebagai bandar raya moden, indah dan menarik.

Kuching dengan sekitar 700,000 jiwa dinobatkan sebagai Bandar Raya Perpaduan pada 2015.

Abang Johari menjelaskan, kemudahan berkenaan penting untuk membolehkan rakyat berinteraksi dan seterusnya mewujudkan suasana perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Ini ujar beliau  menjadi  keharmonian hubungan kaum satu kebangsaan di Sarawak, serta mendapat pujian pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Malah inisiatif digital, antara lebih 80 inisiatif yang diperkenalkan beliau sejak menjadi Ketua Menteri pada 13 Januari 2017 kini menjadi rujukan kepada negeri lain di Malaysia.

“Pembangunan sesebuah bandar raya juga tidak dapat mengelak daripada transformasi digital, terutama ke arah kita membina sebuah bandar raya pintar,” katanya

“Bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Sarawak, kita harus mempunyai kriteria bandar raya pintar dengan rangkaian perhubungan berkesan,” jelasnya.

“Maka kita perlu mempunyai beberapa elemen utama dalam membangunkan Kuching sebagai bandar raya pintar,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun Ke-32 Bandar Raya Kuching di MBKS dengan pematuhan SOP yang ketat pada Sabtu.

Kata beliau, antara kemudahan berkenaan ialah bekalan air, elektrik, pengurusan kependudukan yang selamat, kemudahan awam efisien dan rumah mampu milik untuk golongan miskin bandar.

Kata Ketua Menteri lagi, Kuching bakal dihubungkan dengan Transit Aliran Autonomi dan kemudahan lain yang lebih moden, sekali gus menjadikan kota ini kota metropolis.