KUCHING: Bandaraya Kuching begitu pantas mengalami banyak perubahan dengan pembangunan-pembangunan perumahan, komersial dan rekreasi yang mana telah mewujudkan perpaduan yang begitu mantap.

Berucap dalam Majlis Sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-32 semalam, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Johari Tun Openg merakamkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Kuching khususnya pihak Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU).

Dalam ucapan beliau memfokuskan mengenai keadaan negara yang masih belum selamat sepenuhnya dan orang ramai diminta jangan mengambil ringan dengan SOP-SOP yang telah diarahkan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Untuk itu, jelas beliau, Kerajaan Negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan kini berusaha sedaya upaya menangani jangkitan virus COVID-19 supaya rakyat Malaysia khasnya Sarawak akan kembali seperti keadaan yang sebelum.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hasrat untuk membangunkan semula sebahagian kawasan DBKU dan MBKS di bawah “Renewable Program”.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak merangkap Menteri bertanggungjawab kepada MBKS, Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) dan Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air), Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Sri Haji Muhammad Abu Bakar Haji Marzuki; Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng dan Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Haji Junaidi Haji Ridhuan.