KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai pelan induk pembangunan lima tahun bagi mentransformasi kawasan bandar raya itu yang sudah usang menjadi lebih moden dan indah sehingga muncul sebagai bandar raya metropolitan, kata Ketua Menteri.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,  pelan ini selaras hasrat  menjadikan Kuching  bandar raya  pintar setaraf  bandar raya maju lain di dunia.

“Antara langkah Kerajaan Sarawak ialah mencantikkan dan memodenkan bandar raya Kuching bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Kuching pernah dinobatkan antara bandar raya terbersih di rantau ini suatu ketika dahulu.

Untuk itu, katanya, langkah diambil untuk mengenal pasti kawasan komersial yang perlu dibangunkan semula di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Bandar Raya Kuching telah diisytiharkan sebagai Bandar Raya Perpaduan pada 2015 dengan penduduk sekitar 700,000 jiwa.

Foto Ramidi Subari

Abang Johari berkata, Kuching unik kerana memiliki sejarah tersendiri dan apabila ia berubah kepada bandar raya pintar kelak, amalan perpaduan di Sarawak harus dipertahankan, jelasnya.

Untuk itu, katanya, kerajaan memerlukan pembabitan pihak swasta.

“Pembangunan semula ini akan dilaksanakan majlis berkuasa tempatan dan swasta dengan mengambil kira kriteria kemudahan lebih moden dan sesuai untuk bandar raya pintar,” katanya merujuk kepada MBKS dan DBKU.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-32 Bandaraya Kuching dan perasmian New Norms Park di pekarangan Bangunan MBKS di sini, Sabtu.

Abang Johari berkata, antara kawasan terbabit ialah Padungan dalam kawasan MBKS, sebahagian kawasan Jalan Haji Taha dan Jalan P.Ramlee dalam kawasan DBKU dan antara kemudahan yang akan dibangunkan di kawasan termasuk pusat komersial dan kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Autonomi (ART).

Beliau memberi jaminan bahawa pembangunan semula ini tidak akan menjejaskan bangunan- bersejarah yang sedia ada.

Sebaliknya  jelas beliau, kesan sejarah dan unsur budaya masyarakat pelbagai kaum di bandar raya Kuching dan negeri ini akan terus dipelihara dengan baik.