KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yakin Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bijak mengurus landskap terbaharu di negeri berkenaan.

Menurut beliau, sudah pasti keutamaan pertama adalah memperkasa agenda rakyat di Sabah selain memperjuang maruah UMNO negeri itu yang terus diangkat berasaskan kesetiaan pemimpin dan ahlinya yang setia, tatkala ramai  yang lain memilih jalan mudah dahulu.

“Untuk PPBM Sabah…dalam senario politik mutakhir, berfikirlah dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak kerana setiap tindakan itu akan memberi kesan sampai ke akar umbi, dan tidak terhad ke Sabah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ketua Bersatu Sabah berkata akan bertanding 45 kerusi daripada 73 DUN yang bakal dipertandingkan pada Pilihan raya Negeri Sabah.

Untuk itu, kata Shahril, UMNO tidak akan berganjak. Dua perkataan: Jangan Mimpi.

“Cadangan kepada PPBM Sabah: Kalau nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat. Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding. UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi. Tetapi kalau sebelum berunding pun PPBM sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45/73 kerusi.

Beliau mengakui sudah tentu UMNO ada cita-citanya berlandaskan kekuatan parti dalam menjayakan agenda rakyat Sabah, tetapi cita-cita itu disulami kebijaksanaan dengan mengambil langkah menghormati proses perundingan.

Beliau yakin  Bung Moktar dan pasukan UMNO Sabah bijak mengurus lanskap terbaharu ini. 

“Keutamaan pertama adalah memperkasa agenda rakyat di Sabah di samping memperjuang maruah UMNO Sabah yang terus diangkat berasaskan kesetiaan pemimpin dan ahlinya yang setia, tatkala ramai lain memilih jalan mudah dahulu,” ujarnya.