TANJUNG MANIS: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh menyampaikan sumbangan kepada anggota keluarga remaja yang menjadi mangsa serangan buaya di Rumah Dadat di sini, semalam.

Sumbangan berupa wang tunai itu disampaikan oleh beliau sendiri yang turut menziarahi keluarga mangsa.

Sambil mengucapkan takziah, Len Talif turut menzahir rasa simpati dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan besar itu.

“Saya juga sedih dengan kejadian ini. Semoga dengan sedikit sumbangan yang dihulurkan ini meringankan beban keluarga mangsa” katanya.

Dalam insiden 26 Julai lalu, Ricky Ganya,14, dilaporkan dibaham buaya ketika dia mencari siput bersama ibu saudaranya di sungai berhampiran rumah panjang mereka.

Berikutan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa dipergiatkan sehingga tertangkapnya seekor buaya sepanjang 4.5 meter.

Beberapa anggota tubuh manusia antaranya tulang rusuk, tulang betis, tapak tangan dan serpihan dipercayai tengkorak serta sehelai baju ditemui di dalam perut buaya terbabit.

Sehubungan itu, Len Talif yang juga Pengerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sdn Bhd yang mengarahkan 11 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Hidupan Liar, Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dari SFC yang bertungkus -lumus melakukan operasi pencarian.

Operasi dilakukan dibawah pimpinan Renjer Hidupan Liar, Paul Awing.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Marin Tanjung Manis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.

“Terima kasih juga atas kerjasama Tuai Rumah Dadat dan Tuai Rumah Gabriel Bujang yang turut membantu memudahkan pencarian selama empat hari itu,” ujarnya.