SELANGAU: Seramai 30 orang terdiri daripada warga emas dan OKU dari kawasan Ulu Arip telah menerima sumbangan bantuan makanan daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam Program Ziarah UKAS pada Sabtu.

Program tersebut telah disertai oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak, Datuk John Sikie Tayai.

Beliau juga turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Satik dan JKKK Rumah Sulang Batu 8 serta mengumumkan peruntukkan kepada JKKK Rumah Adan, Rumah Sibat, Rumah Jimin dan Rumah Melap Ulu Arip.

Ketika berucap dalam program tersebut, Datuk John Sikie telah memberitahu kerajaan telah meluluskan sebanyak 30 buah menara komunikasi di kawasan Kakus, yang salah satunya akan dibina di kawasan Ulu Arip dan Arip Ili. Manakala permohonan untuk menaiktaraf jalan kawasan Ulu Arip telah dikemukakan oleh beliau kepada pihak SRDC.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, turut diraikan pelantikan Senator, Rita Insol sebagai Ahli Dewan Negara dengan acara pemotongan kek.

Dalam pada itu, Rita Insol turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Rumah Lanting yang telah musnah akibat kebakaran dan sebanyak RM2,000 telah disampaikan semasa majlis.