KUCHING: Taktik seorang lelaki rakyat tempatan yang cuba menyeludup dadah menggunakan balutan kertas hadiah gagal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kelmarin.

Pengarah Kastam Negeri Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, lelaki berusia lewat 20-an itu memasuki Kuching menggunakan penerbangan domestik dari Kuala Lumpur.

“Bahan kristal disyaki dadah berbahaya dibungkus dengan kertas pembalut hadiah untuk mengelirukan pihak JKDM hasil imbasan di pemeriksaan penumpang LTAK.

“Pemeriksaan rapi ke atas bagasi dilakukan oleh pegawai kastam yang kemudiannya membawa kepada penemuan enam bungkusan yang dibaluti menggunakan kertas hadiah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Halimah lagi, pemeriksaan lanjut kemudiannya dijalankan ke atas enam bungkusan tersebut dan menjumpai lapan paket mengandungi bahan kristal disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine.

“Kaedah pembalutan bungkusan tersebut menggunakan kertas pembalut hadiah dipercayai untuk mengelirukan pegawai bertugas.

“Bagaimanapun, JKDM sentiasa proaktif membuat penilaian risiko ke atas sebarang individu yang dianggap berisiko tinggi,” tegasnya.

Katanya, lelaki berkenaan telah ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah.

“Anggaran berat kasar kesemua lapan paket bahan kristal yang disyaki dadah itu adalah 8,120 gram dengan nilai RM324,800.

“Sehubungan itu, kita menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri,” ujarnya.

Pihak JKDM juga katanya memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.