KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi tumpuan secara berterusan kepada agenda pembangunan negeri dan bukannya berpolitik sepanjang masa.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, selepas penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sarawak dibangunkan mengikut acuan sendiri kerana dipimpin sepenuhnya oleh anak tempatan.

Malah menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi penekanan kepada usaha mempercepatkan pembangunan negeri agar setanding dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Apabila kita mendapat hak memimpin negeri ini sepenuhnya, kita sentiasa berusaha membangunkan seluruh pelosok negeri terutama kemudahan asas.

“Kerajaan Sarawak juga memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar termasuk penyediaan kemudahan asas rakyat. Antaranya ialah menyalurkan bekalan air dan elektrik ke setiap isirumah menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Qurban Majlis Islam Sarawak Tahun 1441H/2020M di Dewan Hikmah pada Jumaat.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, keputusan UMNO untuk tidak menyertai Muafakat Nasional (MN) tidak memberi kesan kepada Sarawak.

“Ia adalah hak kepimpinan UMNO demi kepentingan rakyat selain tidak memberi kesan kepada GPS,” ujarnya.

Mengenai pembubaran DUN Sabah, beliau berkata, biar pemimpin Sabah sendiri yang membuat keputusan untuk kebaikan mereka.

“Saya yakin pemimpin Sabah dapat membuat keputusan terbaik demi rakyat,” jelasnya.