SARIKEI: Rakyat Sarawak perlu mempertahankan perpaduan dan mengelak terlibat dengan sebarang unsur yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan mereka.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Sarawak kekal unik melalui semangat kerjasama dan konsep toleransi yang wujud dalam kalangan penduduknya.

Katanya, sambutan Aildiladha mampu menjadi platform untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada.

“Pertahankannya kerana perpaduan adalah faktor kekuatan kepada kestabilan politik dan pembangunan negeri kita.

“Sambutan perayaan memberi memberi peluang kepada kita untuk lebih memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya pada majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei, hari ini.

Beliau berkata, walaupun tradisi perayaan itu tidak dapat dilakukan seperti biasa berikutan Pendamik Covid 19 namun ia bukan penghalang sambutan perayaan dalam suasana harmoni.

Setiap individu katanya, perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard ( SOP ) dengan meraikannya dalam normal baharu.

“Ia adalah tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi bersama oleh setiap lapisan dan kategori masyarakat. Dengan kerjasama orang ramai, kita boleh mengelakkan daripada berlaku sebarang penularan COVID-19 ketika musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terus memperkasakan pembangunan Sarikei dalam pelbagai aspek.

Ujarnya, pelbagai projek yang berimpak tinggi yang dilaksanakan kerajaan Sarawak pasti memberi manfaat kepada rakyat Sarikei dalam tempoh jangka panjang.

“Antaranya ialah pembinaan jalan Sarikei Tanjung Manis, Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC), dan pelbagai projek lain berimpak tinggi untuk manfaat kira-kira 60,000 penduduk Sarikei.

“Sebanyak 77 projek bernilai RM772 juta diluluskan untuk Bahagian Sarikei di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11). Ia termasuklah jalan raya, jambatan, elektrik dan bekalan air. Ini termasuklah projek Agro Pertanian.

“Saya mewakili rakyat Sarikei ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri,” ujarnya.

Hadir sama, ADUN N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.