KUCHING: Umat Islam diingatkan agar terus mematuhi garis panduan (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Haji Jumaat Ibrahim menjelaskan pematuhan orang ramai terhadap SOP perlu bagi memutus penularan wabak COVID-19.

“Jadi kita harus akur, kerajaan berbuat demikian bukan untuk suka-suka tetapi demi untuk menyelamatkan nyawa kita semua.

“Memang ia kurang selesa namun perlu dilaksana dan diikuti untuk mengelak penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemuramah semasa Program Ibadah Korban 2020 di Kampung Gita semalam.

Jumaat dalam pada itu memberitahu kemeriahan ibadah korban pada tahun ini tetap dirasa meskipun Hari Raya Aidiladha disambut dalam norma baharu dan terpaksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Katanya, berbeza seperti tahun sebelumnya, pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini terpaksa diadakan di beberapa tempat bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini.

Program Ibadah Korban 2020 dianjurkan menerusi kerjasama PMNS, Persatuan Jurufoto Media Sarawak (SPPA), Perstuan Mencek Sarawak, Persatuan Kickboxing Sarawak dan Persatuan Kebajikan JMI.

Sebanyak tujuh ekor kambing dan tiga lembu dikorbankan pada program berkenaan untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk setempat.