KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kemelut politik yang berlaku dalam Kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Sabah, lebih diketahui oleh rakyat negeri itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Sabah sudah biasa bertukar kerajaannya yang silih berganti dan tidak pelik dengan situasi yang berlaku itu.

“Cuma, kita (PAS) harap diselesaikan ikut melalui Perlembagaan yang betul dan (saluran) politik yang betul.

“Dia tubuh kerajaan dahulu pun bukan majoriti parti WARISAN, parti minoriti juga dan kerajaan dia tidak kukuh, kalau jatuh pun kita (PAS) tak pelik,” ujarnya seperti dipetik HarakahDaily.

Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal  mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari pada Khamis lalu.

Ketika ditanya pihak media, cara terbaik menyelesaikan kemelut di Sabah itu, kata beliau, terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpin politik Sabah.

“Sabah sudah ada pengalaman dahulu, Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pun pernah buat di Sabah.

“Terserah kepada pemimpin politik Sabah dan orang Sabah lebih mengetahui,” jelasnya.