PUTRAJAYA: Muafakat Nasional bukannya kelompok parti fahaman kiri sebaliknya masih lagi bersama-sama menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan juga pentadbiran kerajaan sekarang.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, hal ini tidak menjadi isu jika Muafakat Nasional tidak lagi mahu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana pihaknya telah pun bermesyuarat dengan Muhyiddin baru-baru ini untuk menyatakan hasrat keluar dari perikatan berkenaan.

“Pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, kami telah putuskan bahawa Muafakat Nasional dan Barisan Nasional, kita tidak mahu masuk PN.

“Kita sudah beritahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muhyiddin bersetuju dia juga akan bersama-sama dengan kita.

“Gabungan Muafakat Nasional dan Bersatu akan bawa kaedah baharu untuk negara. Yang penting, kita bersatu padu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ibadah korban di kawasan lapang Presint 9, di sini seperti dipetik Utusan Malaysia.

Sebanyak 46 ekor lembu baka tempatan akan dikorbankan dalam tempoh tiga hari berturut-turut di sini dengan menitikberatkan penjarakan sosial.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa parti itu telah membuat keputusan untuk tidak menyertai PN.

Menurut Ahmad Zahid, parti itu akan memberi komitmen memperkasakan Muafakat Nasional bersama-sama dengan Pas dan komponen Barisan Nasional (BN).

Ini kerana sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.