KUALA LUMPUR: Tatkala umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana pandemik, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan agar mereka tidak alpa untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Ujar beliau, Malaysia dan banyak lagi negara lain yang masih belum diisytiharkan bebas daripada pandemik tersebut, malah sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan kes-kes positif wabak itu di Malaysia.

“Bahkan sejak mutakhir ini, terdapat sedikit peningkatan kes-kes positif COVID-19 di negara kita. Justeru, kita tidak boleh leka dan alpa. Sebaliknya kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Justeru, kita tidak boleh leka dan alpa, sebaliknya kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard atau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya menerusi Perutusan Khas Hari Raya Aidiladha kelmarin.

Mengambil maklum ramai yang akan melaksanakan ibadah korban, iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut oleh syarak, beliau telah memperincikan mengenai SOP yang perlu dipatuhi oleh semua umat Islam di negara ini.

“Hadkan jumlah yang hadir di tempat penyembelihan tidak melebihi 20 orang bagi seekor lembu. Anda juga tidak dibenarkan mengadakan kenduri di tempat ibadah korban dijalankan. Apabila selesai sahaja memotong dan membahagikan daging korban, segeralah pulang ke rumah masing-masing.

“Di rumah pula, pastikan jumlah sanak-saudara yang datang berziarah tidak melebihi 20 orang pada satu masa. Elakkan bersalam-salaman. Jika di rumah anda ada ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah, beritahu sanak-saudara, jiran dan sahabat jangan datang ziarah. Ini bahaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin tidak keluar dari rumah.

“Jangan dia pula yang berjalan ke sana ke sini. Saya dapat laporan ada dalam kalangan mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah keluar dari rumah. Ini satu kesalahan berat. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar arahan kuarantin.

“Seperkara lagi, hari Raya Aidiladha esok jatuh pada hari Jumaat. Saya pasti masjid di pekan-pekan kecil dan kampung-kampung akan menjadi agak sesak bukan sahaja semasa solat sunat Aidiladha, tetapi juga semasa solat Jumaat diadakan. Ini kerana ramai perantau pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Muhyiddin berkata tujuan beliau menjelaskan mengenai SOP secara agak terperinci adalah sebagai peringatan kepada umat Islam yang menyambut perayaan itu dan pada hari-hari tasyrik.