KOTA KINABALU: Terdapat pertambahan sebanyak 13 kerusi DUN Sabah dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ini akan menjadikannya  73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 60 kerusi DUN ketika ini.

DUN Sabah dibubarkan pada Khamis lalu yang bakal menyaksikan pertandingan sengit antara ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal dengan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Ini berlaku tidak lama selepas Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Negeri baharu.

Perkara itu disahkan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Rohiman Rahia kepada media.

“Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan,” katanya ringkas seperti dipetik Bernama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan, namun pada Julai tahun lepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, menjadikan kedudukannya 73 kerusi .

Rang undang-undang itu disokong 158 ahli parlimen, termasuk wakil rakyat dari Sabah.

Tiga belas DUN berkenaan ialah N02 Bengkoka; N06 Bandau; N08 Pintasan; N13 Pantai Dalit; N17 Darau; N24 Tanjung Keramat; N27 Limbahau; N44 Tulid; N47 Telupid; N51 Sungai Manila; N58 Lamag; N61 Segama dan N70 Kukusan.