Yang pasti akan berlaku pertembungan pelbagai penjuru kalau isu kerusi tidak dapat diselesaikan menjelang pilihan raya negeri Sabah tidak lama lagi.

DUN Sabah dibubarkan pada Khamis ekoran perebutan jawatan Ketua Menteri antara Tan Sri Musa Aman dengan Datuk Seri Shafie Apdal.

Ketika Musa mendakwa sudah mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, Shafie mengambil jalan selamat dengan mengusulkan agar DUN dibubarkan.

Shafie atau Musa akan menang dalam PRN-16 itu?

Bagi memastikan dia dapat menumbangkan Shafie, Musa perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu agihan kerusi.

Selepas sebahagian wakil rakyat Umno meninggalkan parti itu untuk menyertai Warisan pimpinan Shafie, maka kini kemungkinan besar kita akan menyaksikan pertindihan kerusi antara kedua-duanya.

Ketua Bersatu Sabah dipetik media menuntut 45 daripada 73 kerusi yang bakal dipertandingkan.

Jumlah kerusi bertambah 13 selepas Parlimen meluluskan13 kerusi daripada 60 kerusi sebelum ini.

Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin yang dipetik China Press menyatakan bahawa partinya akan mengemukakan calon untuk 32 kerusi tradisi mereka termasuk di kerusi yang diwakili wakil rakyat yang belot.

Sebanyak lapan Adun Umno yang menang atas tiket parti itu berpaling tadah menyertai Shafie selepas PRU-14.

Jika kedua-dua parti itu gagal menangani isu ini dengan berkesan, ini akan memberi kelebihan kepada Shafie.

Yang pasti, sesiapa pun yang menang perlu menang dengan majoriti besar. 

Kalau tidak pisang pasti akan berbuah dua kali, selagi ada ahli politik katak yang sedia melompat. 

Malah, dengan majoriti besar pun belum menjamin keadaan politik akan stabil.