SERIAN: Jawatankuasa Program Kampung Angkat Saudara Kita (ProKASK) telah menerima sumbangan tiga ekor lembu daripada Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) dan empat ekor lembu daripada Shariah And Halal Compliance Department, Pejabat Astana Negeri, dan korban individu, menjadikan sejumlah tujuh ekor lembu telah disumbangkan sempena ibadah qurban di Dewan Sri HIKMAH, Kampung Ensebang Jaya, Serian, hari ini.

Pegawai Agama Islam Bahagian Serian, Ustaz Morshidi July, mewakili Pengerusi YBIM telah mengetuai penyembelihan lembu dan menyampaikan daging qurban kepada para penduduk kampung.

Antara kampung-kampung saudara kita yang menerima daging qurban tersebut ialah Kampung Ensebang Jaya; Kampung Ensebang Kuari; Kampung Tong Nibong; Kampung Darul Iman Tebedu; Kampung Darul Falah dan Kuhom; Kampung Darul Huda dan Kampung Insan Jaya.

Turut disampaikan sumbangan bakul makanan berbentuk wang tunai dan barang-barang keperluan dapur kepada 10 orang asnaf.

Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM2,000 bagi tujuan program ini.

Ibadah qurban telah berjalan dengan lancar dengan mematuhi Prosedur Operasi Standar (SOP) yang telah ditetapkan.