KUCHING: Sarawak hari ini melaporkan satu (1) kes positif COVID-19 yang dikategorikan sebagai kes import luar negara, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini kekal sebanyak 678 kes.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kes yang ke 678 ini merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia yang berasal dari Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia yang telah masuk secara sah melalui Pintu Masuk Antarabangsa ICQS Biawak, Lundu pada 27 Julai 2020.

“Beliau telah dibawa terus ke pusat kuarantin hotel di Kuching pada 27 Julai 2020 bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Kes dibawa masuk ke Sarawak untuk bekerja sebagai mekanik oleh sebuah syarikat kejuruteraan tempatan.

“Pada 28 Julai 2020 iaitu pada hari ke-2 kuarantin di hotel, kes telah disaring dan diambil swab nasopharyngeal dan swab oropharyngeal bagi ujian COVID-19.

Keputusan ujian saringan kes didapati positif COVID-19 pada 30 Julai 2020,” kata JPBNS dalam satu kenyataan.

JPBNS memaklumkan bahawa kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan kini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Dimaklumkan juga lapan (8) kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak hari ini dan mereka berasal dari Daerah Kuching yang melibatkan enam (6) kes jangkitan tempatan dan dua (2) kes dari luar negara.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 579 orang atau 85.40%,” kata JPBNS.

Sementara itu, JPBNS turut memaklumkan bahawa terdapat 80 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.80%.
Hari ini juga, sebanyak lapan (8) PUI baru dilaporkan dan empat (4) kes masih menunggu ujian makmal.