KABONG: Dalam keghairahan orang ramai menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga dan rakan taulan usah dilupa bahaya yang ada dan praktikkan selalu amalan penjarakan fizikal.

ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir berkata demikian ketika ditemui bersama isteri Meryani Haji Yasin yang berpeluang menunaikan Solat Sunat Aidiladha bersama-sama penduduk di Masjid Assabirin di sini pagi tadi.

Katanya dalam keadaan sekarang orang ramai di situ tidak boleh leka dan memandang ringan ancaman Covid-19 walaupun berada di dalam zon hijau.

“Di negeri kita Sarawak jumlah kes terus bertambah dengan kemunculan kes baharu terus dikesan. Kita perlu sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi antara yang terjangkit dan membentuk kluster baharu.

“Patuhi arahan pihak berwajib lebih-lebih lagi mulai esok 1 Ogos orang ramai diwajibkan menggunakan pelitup separuh muka ketika berada di kawasan awam yang sesak dan juga ketika dalam kenderaan awam.

“Denda RM1000.00 akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar. Jadi jangan sampai kena denda. Kerajaan telah beritahu awal-awal perkara tersebut.Jangan nanti bila kena denda memarahi petugas yang menjalankan tugas,” ujarnya.

Dan katanya lagi, elakkankanlah berada dalam kumpulan orang ramai dan dalam keadaan yang terlalu dekat.

Sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini pihak pengurusan masjid Assabirin Kabong mengehadkan kepada seramai 548 jemaah lelaki dan 150 jemaah wanita sahaja.

Sambutan Aidiladha yang berlangsung ketika negara masih berdepan Pandemik Covid-19 menyaksikan pihak pengurusan masjid menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi orang ramai yang hadir ke masjid.

Sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berlangsung para jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan diwajib menggunakan pelitup separuh muka dan juga membawa sejadah sendiri.

Kehadiran para jemaah juga dicatat dalam buku kehadiran di setiap stesen pengimbas suhu yang dikendalikan oleh petugas masjid sebelum para jemaah dibenarkan memasuki masjid.

Penjarakan fizikal ketika berada di dalam masjid juga dipatuhi jemaah yang hadir.

Chee yang ditemui turut melahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama penduduk menunaikan solat di masjid dan menyambut Aidiladha pada kali ini meskipun dalam keadaan perlu melalui kebiasaan baharu.