BELAGA: Peranan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) akan terus relevan sebagai pertubuhan yang merapatkan golongan generasi muda dari pelbagai kaum di Sarawak.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr. Hj. Abdul Rahman Junaidi berkata sejak ditubuhkan pada 1972, Saberkas telah banyak menyumbang kepada pembangunan Sarawak dalam melatih pemimpin-pemimpin muda dari pelbagai kaum.

“Sebab itu kebanyakan pemimpin-pemimpin di Sarawak pada hari ini adalah lahir daripada Saberkas. 

Inilah hasil misi dan visi pemimpin Saberkas yang terdahulu.

“Siapa pemimpin Saberkas sejak penubuhannya. Mereka adalah pemimpin-pemimpin utama negeri Sarawak. Presiden Saberkas yang pertama, kedua dan yang sekarang ialah Ketua Menteri Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan Saberkas Cawangan Belaga Sesi 2020 – 2023 pada Rabu lepas.

Beliau yang juga Naib Presiden Saberkas Negeri Sarawak mengingatkan golongan belia untuk tidak berasa segan menyertai Saberkas kerana melihat ada golongan senior dalam pertubuhan itu.

Jelasnya, tujuan orang lama kekal di dalam Saberkas adalah untuk membimbing golongan muda agar menjadi pemimpin pelapis yang baik.

Datuk Dr. Hj. Abdul Rahman turut mengagihkan bantuan RM5,000 kepada Saberkas Cawangan Belaga.

Sementara itu, Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) dan ADUN Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata Saberkas adalah salah satu organisasi belia yang kuat dan terbesar di Malaysia.

Katanya, melalui Saberkas berbagai aktiviti yang dilaksanakan seperti kursus dan latihan diadakan sebagai persediaan kepada golongan belia menjadi pelapis kepimpinan pada masa depan.