MIRI: Sebanyak RM1 juta telah diperuntukan untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan Taman Bulatan Miri di bawah Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata projek ini merangkumi penambahbaikan laluan pejalan kaki, mencantikkan persekitaran taman dengan pemasangan lampu serta menaik taraf kemudahan permainan kanak-kanak di taman tersebut.

“Projek ini merangkumi Naik Taraf Dasar Pembangunan Taman Bulatan Miri seperti lampu, kemudahan taman dan pejalan kaki bernilai RM300,000.

“Begitu juga dengan Naik Taraf Taman Permainan Kanak-Kanak dan Peralatan Kecergasan Luar bernilai RM300,000 dan penyambungan Taman bernilai RM400,000.

“Sekarang, kami serahkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan seterusnya Pejabat Residen untuk proses cabut undi kontraktor,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan Taman Bulatan Miri pada Khamis.

Katanya lagi, projek ini dijangka akan dapat memberi keselesaan dan kemudahan kepada masyarakat Miri yang datang mengunjungi taman ini.

Hadir sama Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan ahli Majlis Bandaraya Miri.